KUALA LANGAT – Pembakaran terbuka 2,000 metrik tan tayar di sebuah jeti di Telok Panglima Garang di sini yang masih menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk berhampiran dari segi bau dan habuk.
Keadaan itu seterusnya turut menyebabkan terdapat sebilangan daripada mereka berasa sesak nafas.
Seorang penduduk berhampiran premis tersebut, Mohd.Hizwan Abdul Talib, 40, berkata, pembakaran tayar itu adalah kali pertama berlaku selepas lebih 10 tahun premis itu beroperasi di kawasan tersebut.
Katanya, sebelum ini penduduk sekitar turut diancam perkara sama apabila pembakaran tayar terbuka dilakukan oleh premis lain.
“Memang terasa sesak nafas dan bahang kebakaran boleh dirasai dari rumah walaupun jarak rumah kami kira-kira 100 meter.
“Saya dan isteri bersama dua anak berusia 12 dan 13 tahun menutup semua pintu dan tingkap rumah bagi mengelak pencemarannya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Hasil tinjauan Kosmo! kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya dan asap hitam masih boleh dilihat naik ke udara. -K! ONLINE