fbpx

Kutip kotak sampai malam demi sara keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi Firdaus Legacy di laman Facebooknya yang memaparkan seorang lelaki bersama anaknya sedang mencari kotak di tempat pembungan sampah.

PETALING JAYA – Sedih dan pilu, tatkala ramai yang sudah berkurung dirumah selepas pukul 8 malam, namun masih ada insan yang sedang bergelut mencari rezeki untuk keesokan harinya.

Begitulah kisah menyayati hati telah dikongsi seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Firdaus Legacy yang terserempak dengan seorang bapa bersama anaknya sedang mengutip kotak di tong sampah kira-kira pukul 8 malam.

Menurut Firdaus, kejadian tersebut berlaku di sebuah tapak pembuangan sampah di Jitra, Kedah dan walaupun tong sampah itu berbau busuk, namun kedua-dua mereka tabah mencari kotak untuk menyara ahli keluarga yang lain.

“Saya berenti tanya, dah makan ke bang? Dia jawab dah makan, cari kotak nak jual esok. Saya tanya anak berapa orang, dia jawab lima, saya hulurkan duit, dia jawab tak nak.

“Kalau abang tak nak, abang ambik duit ni untuk anak abang. Beli makan untuk malam ini dan seterusnya, mungkin malam ni kedai dah tutup, beli esok barang keperluan apa tak cukup kat rumah,” tulisnya di laman Facebook.

Firdaus berkata, pada awalnya lelaki tersebut enggan menerima bantuannya risau dengan pandangan orang, namun anak kepada lelaki itu kemudiannya mengambil wang pemberiannya dan kelihatan bergenang air mata bapa kepada lima cahaya mata itu.

“Jam 8 malam mereka cari kotak lagi nak jual. Allah, sebak rasanya, masa ni jalan pun sunyi dah sebab orang tak keluar dah.

“Mungkin mereka lapar tak makan lagi, siapa tahu, kita mungkin kenyang, tapi PKP kita kena ingat ada insan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Memang ada yang susah dan gaji hari ja,” ujar Firdaus.

Perkongsian itu telah mengundang sebak dalam kalangan netizen dengan realiti kehidupan sekarang yang amat mencabar dan mereka mendoakan agar keluarga itu sentiasa dimurahkan rezeki.

“Inilah realiti kehidupan, kita rasa susah, ada orang yang lebih susah, tak makan, nak makan pun takdak, bersyukurlah apa yg ada, memberi lah kalau ada lebih,” komen Mohd. Nasir Asmuni pada hantaran itu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI