GOMBAK – Seorang wanita warga tempatan ditahan polis selepas perbuatan liciknya menukarkan emas tulen kepada yang palsu dapat dihidu majikannya yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, majikan suspek yang juga merupakan pemilik sebuah kedai pajak gadai di Sri Gombak melaporkan perbuatan wanita itu kepada pihak polis pada 6 Ogos lalu selepas menyedari perbezaan berat emas yang dipajak oleh pelanggan.
“Berpandukan maklumat yang diperolehi, pihak polis kemudiannya telah pergi ke sebuah rumah di Sri Gombak pada hari yang sama dan menahan wanita berusia 31 tahun itu.
“Siasatan mendapati wanita berkenaan telah mengambil emas tulen di tempat dia bekerja dan menukarkannya dengan yang palsu sebelum memajak emas tulen tersebut di dua buah kedai pajak di Sri Gombak dan Kuala Berang, Terengganu pada 17 serta 29 Julai lalu,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.
Menurut Arifai, pihaknya turut berjaya mendapatkan semula kesemua barangan kemas berupa seutas rantai serta dua utas gelang yang dilarikan suspek dianggarkan bernilai RM5,300.
“Suspek baru sahaja tiga bulan bekerja di kedai pajak gadai tersebut dan dipercayai melakukan perbuatan itu kerana mahukan wang.
“Suspek ditahan reman sehingga hari ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun dengan sebatan dan denda,” tegas beliau. – K! ONLINE