SHAH ALAM – Kes positif Covid-19 melibatkan sektor pembuatan dan perkilangan hanya melibatkan lima hingga 10 peratus sahaja.
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini berdasarkan data yang dibekalkan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kluster-kluster yang wujud setiap hari.
“Jadi tidak benar untuk meletakkan kesalahan kepada sektor ekonomi khususnya pembuatan.
“Sudah tentu, apabila membenarkan sektor ekonomi beroperasi, kebarangkalian kes itu berlaku juga wujud. Ini tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah ditutup sepenuhnya.
“Kebenaran sedikit aktiviti sektor ekonomi bersifat perkhidmatan perlu adalah untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat khususnya Malaysia ini sebagai sebuah negara terlibat dalam rantaian bekalan global,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian Vaksin Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan ramai pihak supaya kilang ditutup kerana terus mencetuskan kluster yang menyumbang peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Mohamed Azmin turut menjelaskan berdasarkan data KKM yang telah diumumkan juga menunjukkan 75 peratus kes positif ketika ini adalah bersifat sproadik yang bermakna telah berada dalam komuniti.
“Justeru, kita meminta pihak majikan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard ( SOP ) selain meningkat ujian saringan secara berkala susulan kes positif tidak menunjukkan gejala,” jelasnya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, berdasarkan Jabatan Statistik Negara pada suku pertama tahun ini terdapat 2.4 juta tenaga kerja sektor pembuatan dan perkilangan.
Difahamkan seramai 16,564 pekerja telah menerima suntikan di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Johor dan Selangor yang telah melaksanakan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) setakat ini dalam tempoh 16 Jun hingga semalam.
“Memang ada sedikit cabaran pada Jun ini namun mengikut perancangan dan dibentangkan akan stabil pada Julai dan seterusnya.
“Kita telah mendapat jaminan bekalan vaksin sebanyak 150,000 dos akan disempurnakan pada pertengahan julai. Selain, minta kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mendapatkan bekalan tambahan pada bulan depan dan Ogos masing-masing 600,000 dan September ( 795,000),” katanya. – K!ONLINE