IPOH – Seorang pemaju hartanah bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menipu berkaitan penjualan saham berjumlah RM400,000 empat tahun lalu.
Tertuduh, Chin Yoon Seong, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen.
Dia didakwa menipu Lee Wan How, 36, untuk menjual saham syarikat miliknya dan mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM400,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di B-G-22A, Times Square Ipoh, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah pada 6 dan 12 Januari 2017.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 namun peguam tertuduh, Raam Kumar memohon jumlah dikurangkan kepada RM2,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes. -K! ONLINE