Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
ISKANDAR PUTERI – Dua pekerja pemasangan kabel elektrik maut selepas terkena renjatan elektrik di Jalan Bunga Raya, Leisure Farm Resort, Gelang Patah, di sini malam semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Anuar Mohd. Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 malam.
Katanya, sejurus mendapat panggilan tersebut, seramai sembilan anggota beserta sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
“Ketika di lokasi, kedua-dua mangsa yang berusia 37 dan 30 tahun berada di dalam takungan air dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja pemasangan kabel.
“Pegawai perubatan mengesahkan kedua-duanya maut di tempat kejadian sebelum dibawa ke pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Anuar turut memberitahu, operasi tersebut kemudian ditamatkan kira-kira pada pukul 10 malam. – K! ONLINE