fbpx

Bukan main futsal, tapi lepak minum ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh individu sedang melepak di bawah pokok di Guar Tuan Syed, Kepala Batas semalam.

SEBERANG PERAI – Seramai tujuh lelaki ditahan selepas didapati melepak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh berdekatan sebuah gelanggang futsal di Guar Tuan Syed, Penaga di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu membabitkan individu berusia antara 24 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, mereka didapati sedang melepak dipercayai meminum air ketum dan bukan ditahan kerana bermain futsal seperti yang didakwa di media sosial.

“Sekumpulan lelaki didapati sedang berkumpul di bawah pokok dan siasatan mendapati mereka menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk minum ketum dan tidak memakai penutup muka.

“Pemeriksaan pada motosikal milik salah seorang daripada mereka menemui dua bungkus plastik mengandungi air ketum,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit ditahan bagi siasatan lanjut selain masing-masing dikompaun sebanyak RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Terdahulu, tular di media sosial semalam satu video berdurasi 23 saat yang memaparkan sebuah trak polis membawa individu yang ditahan, manakala beberapa buah motosikal lain dilihat turut mengekori kenderaan tersebut.

Menurut Noorzainy, motosikal milik individu yang ditahan itu ditunggang oleh anggota polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI