SEVILLA – Belgium berjaya mara ke pentas suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan juara bertahan, Portugal dengan kemenangan tipis 1-0 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium La Cartuja sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Roberto Martinez mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan pemain utama seperti Romelu Lukaku, Eden Hazard dan Kevin de Bruyne di jentera serangan.
Pengendali Portugal, Fernando Santos turut melakukan perkara sama dengan menyenaraikan barisan serangan ampuh yang diketuai Cristiano Ronaldo dan Diogo Jota.
Skuad Selecao terlebih dahulu mempamerkan serangan bahaya ke arah kubu lawan tetapi rembatan yang dilakukan oleh Jota pada minit ke-6 hanya tersasar.
Ronaldo turut menguji penjaga gol The Red Devils, Thibaut Cortouis menerusi sepakan percuma tetapi mudah ditepis oleh tonggak kelab Real Madrid itu.
Momentum Portugal direntap hebat apabila pemain tengah Belgium, Thorgan Hazard menjaringkan gol yang menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-42 untuk memberi kelebihan buat pasukan No. 1 dunia itu.
Bersambung babak kedua, Portugal memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Joao Felix dan Bruno Fernandes dalam usaha memecah benteng kebal pasukan Belgium.
Beberapa peluang keemasan yang dimiliki oleh Ronaldo dan Felix berjaya dipatahkan benteng ampuh pertahanan Belgium.
Percubaan terbaik mereka hadir menerusi rembatan pemain pertahanan, Raphael Guerreiro pada minit ke-82 tetapi sekadar menggegar tiang gol.
Skuad Portugal terus berusaha untuk mencari gol penyamaan bagi mengheret saingan hingga masa tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. – K! ONLINE