SEPI tanpa material atau karya terkini selama dua tahun, ditambah lagi dengan kehadiran ‘tetamu’ tak diundang bernama Covid-19 yang merenggut kehidupan manusia, suasana tersebut ada ketikanya meresahkan penyanyi Syafiq Farhain.
Jejaka yang baru memacu kerjaya sebagai penyanyi sejak 2016 sebelum menyertai program Big Stage (2018), mengakui masih belum sempat bergaul mesra dengan industri.
Tambahan pula, kelibatnya yang jarang-jarang muncul dengan lagu baharu boleh menjadi faktor kelibatnya kelak mula dilupai khalayak.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Nursyafiq Farhain A.M Salim itu akur dengan takdir yang meletakkan semua orang di atas paras yang sama ketika ini iaitu terkurung, terhimpit dan terhalang kebebasan daripada menjalani kehidupan seperti biasa.
“Makin lama menyepi, boleh jadi orang akan lupa. Tetapi apa boleh buat, memang inilah yang perlu dihadapi bukan saya sahaja bahkan semua orang.
“Saya tidak nafikan, keputusan melancarkan lagu baharu ketika pandemik ada cabaran tertentu. Paling ketara tidak boleh keluar mempromosikan kepada orang ramai seperti sebelum ini.
“Jadi, jalan lain yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan media sosial. Meskipun saya akui impak promosi menerusi media sosial tidak sehebat seperti dahulu yang membolehkan kita bergerak ke sana sini tetapi apa boleh buat, hadap sajalah buat masa ini,” katanya, reda berbaur terkilan.
Syafiq baru-baru ini muncul dalam sesi temu bual maya bersama media sempena mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Kau Bidadari, hasil ciptaan Asfan Shah, manakala liriknya pula menggabungkan kerjasama Asfan dan Fedtri Yahya.
Peram dua tahun
Ternyata, kedatangan pandemik meninggalkan kesan kepada semua orang, termasuk Syafiq yang berdepan cabaran apabila terpaksa membiarkan lagu Kau Bidadari ‘terperam’ dua tahun lamanya.
Kata Syafiq, terlalu banyak yang dilaluinya sebelum dapat melancarkan lagu tersebut secara rasmi pada 11 Jun lalu.
Paling ketara adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung dari satu fasa ke satu fasa yang lain sejak tahun lalu.
“Sebenarnya saya sudah siap rakam lagu ini pada 2019 lagi. Tetapi disebabkan Covid-19, ada masalah untuk lakukan penggambaran kerja-kerja seni.
“Bila sudah dibenarkan penggambaran, tiba-tiba ada petugas produksi pula disahkan positif. Jadi terpaksa tunda. Kemudian bila dah okey, saya pula yang dijangkiti. Itulah cabaran paling besar untuk lagu ini,” jelasnya.
Lagu Kau Bidadari menyaksikan kemunculan Syafiq dengan buah tangan terbaharu selepas dua tahun muncul dengan lagu Demi Setia.
Genre berbeza
Disoal tentang pendekatannya yang dilihat suka menggunakan jalan selamat dengan mempertaruhkan genre pilihan iaitu balada dan masih belum memberanikan diri melakukan perubahan, Syafiq ada alasan tersendiri.
Kata penyanyi yang juga merupakan anggota bomba itu, buat masa ini dia masih dalam proses mencari material sesuai untuk diketengahkan kepada peminat.
Pada masa sama, Syafiq berpegang dengan prinsip untuk kekal mempertaruhkan genre forte supaya dapat mengukuhkan identiti, sebelum berani keluar dari zon selesa.
“Memang nak cuba buat genre lain dan masih dalam proses mencari tetapi belum jumpa.
“Tetapi sejujurnya kalau boleh, saya nak fokus kepada forte sebelum beralih mencuba perkara baharu.
“Paling tidak, saya ada identiti yang kuat dan orang sudah kenal, barulah boleh buat benda lain,” jawabnya.
Selain faktor masih dalam proses untuk bergaul mesra dengan genre tersebut, anak kepada penyanyi terkenal Allahyarham Saleem Iklim itu mengakui ada faktor lain, mengapa dia selesa berdiri dengan nuansa balada.
Syafiq menyifatkan bentuk vokalnya sesuai dengan genre balada, selain mengakui kurang yakin menyanyikan lagu lain.
“Selain selesa, saya memang suka dengan lagu balada sebenarnya. Sebab suara saya sesuai dengan genre ini. Kalau nyanyi lagu lain, rasa macam suara kartun pula.
“Bukan tak pernah cuba, dahulu semasa di pentas Big Stage, saya pernah nyanyi lagu rancak. Tapi tak berapa ramai orang suka. Sebab itu saya fokus kepada balada dulu buat masa sekarang,” katanya.
Umum tahu, sebelum ini penyanyi berusia 27 tahun itu pernah dijangkiti Covid-19 pada 11 Februari lalu.
Sebagai bekas pesakit Covid-19, impak terhadap kesihatan, terutamanya dari segi stamina adalah hal yang perlu dihadapi mereka.
Syafiq bagaimanapun bersyukur. Biarpun pernah dijangkiti Covid-19, namun staminanya masih normal dan mampu menyanyi seperti biasa.
“Mungkin orang kata selepas sembuh daripada Covid-19, akan beri kesan kepada stamina. Untuk saya, syukur alhamdulillah, kesihatan masih macam biasa.
“Tempo lagu ini agak laju tetapi saya tidak berdepan sebarang masalah.
“Cuma suara saya sekarang semakin serak, jadi ada bahagian vokal yang ‘lembut’ agak sukar, lain-lain okey,” tutupnya.