fbpx

Polis rampas syabu RM560,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arifai Tarawe (tengah) menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di Batu Caves, Gombak pada 6 Ogos lalu.

GOMBAK – Kelicikan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak sebulan lalu di sekitar Lembah Klang tidak berpanjangan apabila aktiviti mereka berjaya dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan anggota serta pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah membuat satu serbuan pada 6 Ogos lalu susulan maklumat serta hasil risikan yang dilakukan.

“Serbuan dilakukan di kawasan meletak kenderaan sebuah pasar raya di Batu Caves kira-kira pukul 5 petang dan pihak kami telah menahan tiga individu bersama dua buah kereta jenis Mercedes serta Mazda yang dipercayai sedang melakukan urusan jual beli dadah.

“Mereka yang ditahan merupakan seorang lelaki warganegara Singapura berusia 47 tahun, seorang lelaki tempatan 25 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 24 tahun,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD GOmbak di sini hari ini.

Menurut Arifai, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua buah kereta berkenaan telah menemui sebanyak 14 bungkusan plastik teh cina mengandungi dadah dipercayai jenis methamphetamine yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM560,000.

“Semakan yang dilakukan mendapati wanita dan lelaki warga Singapura itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau manakala lelaki tempatan itu pula mempunyai rekod di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 14 kilogram dan dipercayai mampu dibekalkan kepada 30,000 orang penagih di sekitar Lembah KLang,” katanya.

Jelas Arifai, lelaki warga Singapura itu masuk ke dalam negara secara sah dan mengusahakan sebuah kedai telefon bimbit di Johor Bahru namun dia juga terlibat dengan sindiket tersebut yang aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang bersama dua lagi suspek yang ditahan.

“Siasatan masih lagi dijalankan malah pihak polis sedang berusaha mengesan saki baki ahli sindiket ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati sekiranya disabit kesalahan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI