PETALING JAYA – “Saya akur perbuatan itu salah. Saya juga minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Itu antara respons penghibur legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah berhubung kes ‘pesta durian’ sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tular di media sosial sejak semalam.
Menurut Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, perjalanannya ke Bidor, Perak atas urusan mendapatkan baja untuk bisnes kolam ikan yang diusahakannya di Bukit Merah.
Namun semasa tiba di Bidor, seorang kawan baik mengundangnya untuk singgah di sebuah dusun durian.
Bukan hendak mempertahankan diri daripada dikritik, pelantun Kekasih Awal Dan Akhir itu memberitahu, peminat berhak mengecam atau berasa tidak puas hati dengan apa yang telah berlaku.
“Saya faham perbuatan itu sensitif, tambahan semua orang tengah tertekan dan tak puas hati dengan banyak perkara. Jika saya dikecam dengan kesalahan ini saya reda. Tapi nak kata golongan kayangan itu tidaklah. Saya berada di tempat dan masa salah, benda tak dirancang,” katanya kepada Kosmo!.
Semalam, Jamal juga menyatakan sudah memberikan sepenuh kerjasama ketika diminta hadir memberi keterangan kepada pihak polis.
Katanya, dia tiada masalah dengan SOP rentas negeri kerana ada menjalankan urusan perniagaan dengan syarikat yang berdaftar.
“Saya cuma mahu jaga hati kawan. Semasa saya tiba di sebuah sebuah rumah inap desa di dusun berkenaan, cuma ada empat orang di situ. Mereka ajak saya makan tengah hari dan dijamu dengan durian.
“Tapi tak lama kemudian, tiba-tiba sahaja tempat itu didatangi ramai orang. Kebetulan pula ada set karaoke dan mereka minta saya menyanyi. Saya rasa tak sampai hati nak tolak, demi menjaga hati, ditelan mati mak, diluah mati bapa, saya pun turuti permintaan mereka.
“Saya akui memang salah saya sendiri sebab terlepas pandang. Tiada langsung niat nak langgar SOP,” ujarnya yang tidak menyangka persinggahannya seketika itu mengundang masalah.
Penyanyi berusia 62 itu bagaimanapun berkata, perbuatannya makan di dusun durian berkenaan tidak menggambarkan keseluruhan apa yang berlaku.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Jamal dan enam individu lain termasuk penganjur ‘pesta durian’ telah dipanggil memberi keterangan.
Siasatan itu dijalankan susulan tangkap layar beberapa gambar tular di media sosial yang memaparkan kesemua mereka makan durian secara beramai-ramai.