LONDON – Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini memuji impak yang diberikan oleh pemain simpanannya yang dimasukkan untuk membantu kemenangan 2-1 ke atas Austria pada saingan 16 pasukan terbaik awal pagi semalam di Wembley.
The Azzurri dilihat sedikit bergelut untuk menjinakkan Austria dalam perlawanan yang terpaksa dilanjutkan sehingga ke masa tambahan sebelum mengesahkan tempat di suku akhir.
Jaringan Federico Chiesa dan Matteo Pessina yang masuk sebagai pemain gantian berjaya meledak gol dalam tempoh 10 minit iaitu pada minit ke-95 dan 105 untuk memberikan mereka kemenangan.
Selain itu, keputusan Mancini mengeluarkan Marco Verratti dan menggantikannya dengan Manuel Locatelli dianggap keputusan yang bijak apabila pemain gantian itu berjaya menghidupkan kembali jentera hadapan Itali.
“Mereka adalah pemain yang bijak dan ia memberikan kami kelebihan besar memiliki pemain simpanan yang mempunyai tahap yang sama dengan pemain utama.
“Apa yang jelas pemain simpanan kami mampu untuk masuk dan mengubah perlawanan kerana mereka masih bertenaga. Ia adalah satu persembahan yang menakjubkan.
“Sebelum turun menentang Austria, semua pemain sudah berjanji bahawa mereka mahu memenangi perlawanan ini walau apa cara sekali pun dan pemain simpanan kami melakukan tugas mereka dengan untuk membolehkan kami memenanginya,” kata Mancini.
Bagaimanapun, ketika perlawanan berbaki enam minit untuk berakhir, Itali dikejutkan dengan gol pertama Austria menerusi Sasa Kalajdzic sekali gus memadam rekod tanpa bolos dalam 11 perlawanan mereka sejak Oktober 2020.
Mancini mengakui, skuad kendaliannya tidak pernah meremehkan kemampuan Austria sebaliknya mengakui ia adalah perlawanan paling sukar dilalui sepanjang kempen kali ini.
“Saya fikir jika kami bertemu Belgium atau Portugal pada suku akhir nanti, ia tidaklah sesukar perlawanan ini. Austria mungkin bukanlah sebaik pasukan yang beraksi di suku akhir tetapi mereka benar-benar membuatkan kami dalam masalah,” jelasnya. – AGENSI