AMSTERDAM – Semangat Christian Eriksen yang dibawa oleh seluruh pemain Denmark berjaya membantu mereka melangkah ke suku akhir Euro 2020 selepas membelasah Wales 4-0 pada pusingan 16 pasukan terbaik di Arena Johan Cruyff awal pagi semalam.
Ketua jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand menegaskan, kemenangan tersebut adalah untuk Eriksen dan ia lebih bermakna apabila mereka melakukannya di ‘rumah’ pertama pemain tengah itu yang beraksi bersama Ajax Amsterdam ketika memulakan karier profesionalnya.
Eriksen, 29, terpaksa dikejarkan ke hospital apabila rebah secara tiba-tiba selepas mengalami serangan jantung ketika berdepan Finland pada aksi pembukaan Kumpulan B, 12 Jun lalu.
“Cruyff adalah salah seseorang yang menjadi inspirasi saya. Kemenangan di sini juga menjadi lebih bermakna kerana di stadium inilah Eriksen memulakan karier bola sepak profesional pada usia 16 tahun.
“Dia (Eriksen) sentiasa bersama kami dan kemenangan ini adalah untuk dirinya. Sudah tentu ia lebih bermakna sekiranya dia berada di sini dan meraikan kemenangan ini bersama rakan sepasukannya,” kata Hjulmand.
Sebagai rekod, Eriksen kini sedang berehat di rumah selepas menjalani pembedahan 18 Jun lalu dan difahamkan, pemain Inter Milan itu mungkin terpaksa menggantung but ekoran insiden yang hampir meragut nyawanya.
Hjulmand juga memuji barisan pemainnya yang sudah menunjukkan semangat juang tinggi sehingga membawa pasukan itu hingga ke suku akhir meskipun mereka dilihat hampir tersingkir di peringkat kumpulan.
“Saya bangga dengan pemain-pemain Denmark, mereka adalah pejuang sebenar. Sokongan yang kami terima pada kejohanan kali ini benar-benar membangkitkan semangat pasukan,” ujarnya.
Sementara itu, wira Denmark yang menjaringkan dua gol, Kasper Dolberg melaungkan keyakinan mereka mampu untuk melangkah lebih jauh pada kempen kali ini selepas menampilkan aksi cukup baik dalam dua perlawanan terakhir.
“Memang ini adalah impian kami dan saya gembira kerana kami mampu lakukannya. Secara jujur, kami tidak jangka boleh sampai ke sini, namun kami buktikan kerjasama pasukan adalah segala-galanya,” kata Dolberg.
Selain Dolberg, dua gol lagi dijaringkan Joakim Maehle dan Martin Braithwaite pada penghujung aksi. – AGENSI