Baru-baru ini penulis ada terbaca satu posting mengenai kemarahan orang ramai di media sosial yang masih menunggu tarikh giliran vaksinasi Covid-19.
Kemarahan itu bertukar lucu apabila orang ramai meninggalkan komen kreatif dalam menggambarkan perasaan mereka menunggu notifikasi vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera yang tidak kunjung tiba.
Komen kreatif digambarkan seperti seorang lelaki yang menunggu jawapan seorang perempuan untuk satu hubungan yang lebih serius.
Komen-komen itu berbunyi seperti: “Hari-hari tengok MySejahtera macam tunggu crush balas WhatsApp”, “Setiap hari menunggu tarikh sampai berbulan lamanya ibaratnya menunggu kasih yang tak pasti, resah dan gelisah”.
Ada juga yang menulis: “Sampai bila harus tunggu, sampai sekarang senyap tanpa khabar, pinangan (daftar) sudah buat”.
Gambaran perasaan itu mewakili sebahagian rakyat Malaysia yang telah mendaftar vaksinasi tersebut sejak Februari lalu yang sehingga ke bulan Jun ini masih belum menerima tarikh untuk menerima suntikan.
Sebulan ke sebulan sebahagian besar orang ramai masih lagi mengharapkan tarikh itu ada segera timbul di notifikasi MySejahtera.
Perasaan yang boleh digambarkan jika timbul tarikh vaksinasi seakan mahu sujud syukur, tanda gembiranya terpilih dalam kalangan jutaan rakyat Malaysia.
Tolak ke tepi penyebab sebahagian kita masih belum menerima tarikh vaksinasi, namun kadangkala dilihat pemberian vaksin seolah-olah tidak berfokus lagi.
Awalnya pemberian vaksin ikut fasa pertama (barisan hadapan), fasa kedua (warga emas/golongan berisiko) dan fasa ketiga (berumur 18 tahun ke atas), namun kini pelbagai golongan diutamakan pula.
Selepas pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting bakal disuntik, diumumkan pula pekerja sektor pembinaan akan mula divaksin 1 Julai ini.
Akhirnya golongan ‘biasa-biasa’ masih menunggu kasih yang tidak pasti, tidak tahu sampai berapa bulan lagi.
Kes harian pula masih tiada tanda hendak turun ke paras bawah 3,000 walaupun telah sebulan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Melihat setiap hari angka masih di paras 4,000 ke atas membuatkan ramai tertanya-tanya PKP penuh seolah-olah tiada makna.
“Duduk rumah sudah duduk, kes masih tinggi, sampai bila anak-anak tidak boleh ke sekolah, hanya mampu berdoa,” tulis seorang pengikut Instagram Kosmo! Online.