JERANTUT – Penduduk di sekitar bandar Jerantut tidak perlu membuat pembelian panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bandar itu memandangkan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi.
Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Abdul Mubin Ahmad berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan barangan keperluan sentiasa mencukupi untuk keperluan penduduk.
“Bekalan barang keperluan dapur juga mudah diperoleh di semua pasar raya, pasar mini, pasar tani dan kedai runcit kerana premis berkenaan beroperasi seperti biasa sewaktu PKPD serta bekalan barang keperluan harian di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi.
“Pengguna tidak perlu bimbang dan elakkan bersesak-sesak ke bandar kerana semua pasar raya dan premis peruncitan masih dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya di sini, hari ini.
Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, sekitar bandar Jerantut akan dikenakan penguatkuasaan PKPD mulai 28 Jun hingga 11 Julai depan berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, Abdul Mubin berkata, pejabat penguat kuasa KPDNHEP di sini menggalakkan peniaga supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barang yang bersesuaian bagi individu atau keluarga.
Katanya, penguatkuasa KPDNHEP Jerantut sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan harian di semua premis perniagaan meliputi peruncit dan pemborong untuk memastikan bekalan barangan mencukupi selain pematuhan peraturan dalam kalangan peniaga.
“Sehingga ini pemeriksaan di semua premis berkenaan mendapati tiada kenaikan harga barang serta peniaga mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga, AktaAntipencatutan 2011 dan Antipencatutan 2018,” katanya.- K! ONLINE