SHAH ALAM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah mengeluarkan surat arahan kepada pemilik premis sebuah jeti di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini untuk hadir ke Pejabat Cawangan Sepang susulan kebakaran longgokan tayar di kawasan tersebut.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, ini bertujuan merakam keterangan dengan arahan turut dikeluarkan agar tindakan pencegahan kebakaran dilakukan dengan serta-merta agar insiden sama tidak berulang.
Katanya, berdasarkan siasatan pihaknya di lokasi kejadian hari ini mendapati keluasan kebakaran kira-kira 8,000 kaki persegi.
“Tayar-tayar itu diimport daripada luar negara seperti Australia dan disimpan sementara di jeti berkenaan sebelum dihantar ke premis lain untuk digunakan sebagai bahan bakar terutama bagi kilang-kilang simen.
“Dianggarkan sebanyak 2,000 metrik tan daripada keseluruhan kira-kira 5,000 simpanan tayar telah terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau memberitahu, pencontohan terhadap tayar-tayar terbakar telah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Jelas Nor Aziah, kes disiasat mengikut Seksyen 29A, Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sekiranya didapati kebakaran berlaku disebabkan unsur kecuaian.
Sementara itu, usaha memadam kebakaran tersebut telah mengambil masa lebih 12 jam selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubungnya pukul 4.06 petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi pemadaman hari ini dibantu oleh empat jengkaut dengan keanggotaan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terdahulu, insiden tersebut turut tular di laman sosial Facebook dengan menyatakan kebakaran tersebut mengakibatkan pencemaran udara di sekitar radius 10 kilometer. – K! ONLINE.