fbpx

Kerja keras untuk beli rumah buat mak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARIDAH mengimpikan sebuah rumah yang selesa untuk dihadiahkan kepada ibu tercinta.

KETIKA rakan-rakan lain menghabiskan usia muda dengan bergembira menonton wayang atau bercuti, Faridah Haris, 23, sibuk melakukan pelbagai kerja sambilan semata-mata kerana mahu membantu keluarga.

Biarpun tidak bernasib baik seperti orang lain, namun anak kelahiran Sabah ini langsung tidak mempersoalkan takdir hidup yang sudah tersurat buat dirinya.
Sebutlah apa sahaja bentuk pekerjaan, semuanya pernah dilakukan gadis bertubuh kecil molek ini.

Bermula sebagai pembantu kedai pada usia 11 tahun, anak kedua daripada lima beradik ini juga pernah berniaga di bazar karat dan menjadi runner membeli kelengkapan individu sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Biarpun kadangkala gadis ini mengakui penat, namun demi misinya yang mahu membeli sebuah rumah untuk keluarga tercinta, dia gagahkan jua kudratnya itu.

“Saya mula bekerja ketika usia muda. Pada waktu itu, saya mahu membantu ibu dan ayah yang bekerja sebagai pemandu teksi dan penjual pisang goreng.

“Itulah permulaan saya sebagai pekerja sambilan sehingga kini,” kata pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu.

Ketika pelaksanaan PKP 1.0, Faridah mengambil peluang menjana pendapatan dengan mengambil upah menjadi runner.

“Pada waktu itu, ramai yang takut untuk keluar rumah walaupun untuk membeli barangan keperluan. Jadi saya mengambil upah membantu mereka mendapatkan barangan tersebut.

“Bagi setiap tempahan, saya mengambil upah RM40 dan dalam sebulan saya boleh mendapat sekitar RM1,500. Pada waktu malam, saya lakukan kerja-kerja lain.

“Penat memang penat, tetapi saya sudah lali dengan semua itu,” katanya.
Ditanya apa yang membuatkan dia begitu tekad mahu menghadiahkan keluarganya sebuah kediaman, Faridah berkata, dia mahu memberi keselesaan buat keluarga selain merasai pengalaman mendiami rumah sendiri.

SETIAP petang hingga malam, Faridah berniaga barangan terpakai di bazar karat bagi mencari wang tambahan buat keluarga.

“Sejak dahulu, saya dan keluarga menghuni rumah sewa dan sering berpindah-randah. Sekarang, saya duduk di rumah pangsa lima tingkat yang hanya mempunyai dua bilik tidur.

“Di situlah ruang tamu untuk mengulang kaji pelajaran, di situ jugalah tempat untuk kami bersantai dan juga makan. Keadaan itu sudah tentu tidak begitu selesa,” luahnya.

Situasi itu menyebabkan dia nekad bekerja mengumpul wang untuk membeli kediaman buat keluarga.

“Teringin juga menghias rumah seperti orang lain.

“Duduk menyewa ini bukan tidak mahu menghias, tetapi ia bukan rumah sendiri, sayang jika berhabis duit pada kediaman tersebut. Duit itu pula boleh digunakan untuk membeli keperluan lain memandangkan kami bukan orang senang.

“Saya tidak mempunyai kediaman impian. Cukuplah sekadar rumah yang mampu memberi keselesaan buat kami sekeluarga,” ulasnya.

Bagai orang mengantuk disorong bantal, tatkala gadis ini sibuk mengumpul duit untuk membeli sebuah rumah buat keluarga, dia terpandang kempen Home Giveaway anjuran laman web hartanah No. 1 di Malaysia, PropertyGuru.

Kempen itu menawarkan pemenangnya sebuah rumah dilengkapi perabot bernilai lebih RM600,000 di Tropicana Metropark, Subang Jaya.

Hanya sekadar mencuba nasib, siapa sangka Faridah terpilih sebagai salah seorang finalis dalam peraduan itu.

BIARPUN sibuk membuat pelbagai kerja sambilan sejak berusia 11 tahun, namun Faridah tetap mengutamakan pelajaran dan kini dalam tahun terakhir pengajiannya.

“Saya suka baca berita di internet dan satu hari terpandang peraduan ini. Disebabkan benar-benar mahukan rumah, saya menyertainya.

“Tidak sangka pula saya terpilih sebagai finalis bersama lima orang lain daripada 1,000 penyertaan. Begitupun untuk membolehkan saya memenangi kediaman ini, saya perlu diundi.

“Diharap ada yang sudi mengundi saya memandangkan setiap undian begitu berharga. Ia memberi harapan buat kami sekeluarga merasai kediaman sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI