PETALING JAYA – Pelakon Arja Lee berdepan sukar apabila kehilangan bapa tersayang, Ramli Uteh yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.45 petang tadi.
Khabar duka tersebut dikongsikan Arja atau nama sebenarnya, Azhar Ramli, 37, menerusi akaun Instagram peribadinya.
Dia turut menzahirkan kesedihan di atas pemergian insan ayang paling dihormati dalam hidupnya itu sehingga sukar untuk menaip bait ayat dalam ruangan kapsyen berkenaan.
Tulis Arja, Allahyarham sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen menyaksikan dirinya menerima Ijazah Sarjana selain mahu melihat Arja bergelar pensyarah.
“Abah (panggilan untuk bapanya) cakap, abah selalu mendoakan adik (panggilan untuk dirinya) dan semua anak anak abah berjaya dalam hidup. Itukan doa abah.
“Tapi hari ini, jam 4.45 petang tadi selepas Asar kenapa abah pejam mata dan abah tak bangun?
Adik dah balik, nak jumpa abah. Abah kena peluk adik tau! Adik tak sabar nak jumpa abah,” katanya.
Bagaimanapun, tidak dimaklumkan punca Allahyarham yang berusia 78 tahun itu meninggal dunia.
Terdahulu, pada April lalu bapa kepada bintang …Dalam Botol itu dimasukkan ke hospital selama empat hari disebabkan sesak nafas. – K! ONLINE