BUKIT FRASER – Penyanyi nombor satu, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan beliau tidak pernah berhenti berusaha untuk menambah bilangan ahli keluarganya dan sentiasa mencuba untuk mendapatkan cahaya mata kedua.
Katanya, buat masa itu beliau mahu berusaha mendapatkan cahaya mata kedua tanpa kaedah rawatan kesuburan selepas menimang puteri sulung Siti Aafiyah pada 19 Mac 2018.
“Kalau bercakap soal anak kedua, saya akan terus berusaha dan tidak pernah berhenti. Lagipun usia Aafiyah sekarang lebih dua tahun.
“Memang saya ada terfikir untuk jalani proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) sama seperti ketika hamilkan Aafiyah dahulu tetapi buat masa sekarang saya mahu cuba usaha sendiri dahulu,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis sambutan ulang tahun perkahwinannya ke-14 bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa di Cecily Bungalow, Bukit Fraser di sini semalam.
Pelantun lagu 7 Nasihat itu juga mahu melihat puteri sulungnya Aafiyah sudah bersedia untuk menjadi seorang kakak memandangkan sikapnya yang gemar dan sukakan kanak-kanak.
“Apa yang saya suka tentang Aafiyah, dia sangat sayangkan kanak-kanak dan bayi. Tidak kira seusia atau lebih muda daripadanya, Aafiyah gemar melayan dan bermain dengan mereka.
“Jadi saya tidak akan rasa susah kalau nanti saya dan suami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua,” ujarnya.
Pada masa sama Siti, 41, berkata, beliau tidak akan memperlahankan jadual seninya kerana buat masa ini sangat sibuk dengan urusan mempromosi album selain perniagaan yang diusahakan.
“Saya tidak akan berehat sebab banyak kerja perlu diselesaikan memandangkan ada yang tergendala disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari. Jadi berkemungkinan tahun depan saya akan perlahankan sedikit rentak karier,” jelasnya.
Terdahulu Siti dan suami mengadakan aktiviti berbasikal Anniversary Ride bersama pasukan CTDK Cycling Team sempena sambutan awal meraikan ulang tahun ke-14 perkahwinan mereka. Siti dan Khalid berkahwin pada 21 Ogos 2006.
Acara tersebut disertai seramai 50 peserta. Mereka memulakan kayuhan dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Fraser Hills sejauh 48 kilometer.