fbpx

Portugal tahu kelemahan Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PORTUGAL berdepan tekanan yang cukup besar apabila turun selaku penyandang juara dan sudah pasti tidak mahu terkandas pada pusingan 16 pasukan terbaik. – AFP

SEVILLA – Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos yakin beliau ada ramuan tersendiri menjelang aksi menentang Belgium pada pusingan 16 pasukan terbaik, Euro 2020 di Stadium La Cartuja awal pagi esok.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan rahsia tersebut meskipun mengakui sudah mengesan beberapa kelemahan yang ada dalam skuad kendalian Roberto Martinez itu pada kempen kali ini.

Kata Santos, mereka perlu berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Belgium pada perlawanan itu berdasarkan senarai pemain selain sudah lama digandingkan bersama.

“Saya tidak mahu dedahkan kelemahan mereka sekarang ke­rana itu adalah rahsia pasukan. Selain itu, saya tidak mahu Belgium tahu apa kelemahan mereka yang sudah berada dalam genggaman kami.

“Saya yakin masih banyak kelemahan mereka yang boleh kami kaji. Apa yang saya lihat ketika mereka bertemu Denmark, ada beberapa faktor yang boleh jadi ke­lebihan untuk kami,” ujarnya.

Tambah beliau, Belgium pastinya akan turun dengan corak permainan menye­rang menerusi gandingan tiga serangkai, Romelu Lukaku, Eden Hazard dan Kevin De Bruyne yang pasti­nya mampu mengancam pintu gol Portugal.

“Belgium memiliki banyak kelebihan, terutama mereka sudah lama bermain bersama. Corak permainan mereka hampir sempurna dan keserasian antara semua pemain sangat baik.

“Saya yakin Belgium akan turun dengan formasi 3-4-3 ataupun 3-4-1-2 kerana mereka pasti menyerang kami dari awal permainan. Sudah tentu saya amat menagih kerja keras daripada barisan pertahanan nanti,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Portugal, Renato Sanches percaya barisan kejurulatihan sedang merencanakan strategi terbaik bagi memastikan mereka terus ber­saing untuk mengekalkan kejuaraan.

Pada masa sama, dia juga enggan terlalu dibuai dengan ­pujian yang diterima selepas menampilkan aksi cukup baik ketika membantu Portugal sewaktu bertemu Pe­rancis sebelum ini.

“Jurulatih sedang bekerja keras untuk mencari strategi terbaik untuk perlawanan itu nanti. Saya yakin beliau (Santos) akan pastikan pasukan catat keputusan positif pada pertemuan tersebut.

“Saya adalah seorang pemain yang bermain secara fizikal dan menggunakan badan sebaiknya untuk mengatasi lawan. Saya tahu mengenai pujian yang diberikan tetapi saya tidak mahu terlalu leka dengannya,” kata pemain Lille itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN