BUDAPEST – Ketua jurulatih Belanda, Frank De Boer mengakui bingung mencongak strategi terbaik The Oranje dalam usaha untuk meraih slot ke pentas suku akhir saingan Euro 2020 apabila bertemu dengan Republik Czech di pusingan 16 pasukan terbaik di Arena Puskas, tengah malam ini.
Kata De Boer, pasukan lawan boleh memberi ancaman tersendiri khususnya dengan kelebihan fizikal yang dimiliki di benteng pertahanan sekali gus sukar membuat keputusan sama ada mahu meletakkan Donyell Malen atau Wout Weghorst untuk digandingkan dengan Memphis Depay.
“Pada tiga perlawanan peringkat kumpulan lepas, ada ketikanya dalam kesebelasan utama saya gandingkan Weghorst bersama Depay kerana saya berpendapat kita lebih memerlukan khidmat Weghorst yang memiliki kelebihan fizikal.
“Namun, pada aksi terakhir kita dapat lihat prestasi Malen yang cukup memukau dan sangat serasi apabila bersama dengan Depay di atas padang. Kepantasan memang menjadi asetnya dan kini saya tidak tahu untuk letakkan siapa dalam kesebelasan utama.
“Apa yang pasti, siapa sahaja yang diturunkan wajar memberikan aksi terbaik kerana penyokong meletakkan harapan tinggi buat pasukan melangkah jauh pada kejohanan ini tetapi dalam masa yang sama kami perlu berwaspada dengan ancaman pasukan lawan,” katanya.
Sementara itu, Depay menyeru agar rakan-rakan sepasukan tidak memandang rendah dengan kualiti yang dimiliki oleh Republik Czech dan perlu memberikan aksi serius di atas padang sekiranya mahu elak daripada tersingkir awal.
“Republik Czech memiliki tradisi sebagai salah satu pasukan yang mengamalkan corak permain agresif dan saya pasti jurulatih sudah memiliki perancangan tersendiri untuk menewaskan pasukan lawan,” kata Depay yang telah rasmi menjadi pemain baharu Barcelona. – AGENSI