ASSEN – Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales kembali membuktikan kemampuan sebenar apabila menyambar petak hadapan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen malam tadi.
Pelumba Sepanyol itu bukan sahaja meraih petak pertama tetapi dia juga melakar rekod baharu apabila melakukan catatan masa 1:31.814 saat (s), meleburkan catatan rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang juga dilakukan pada sesi tersebut.
Terdahulu, Quartararo memadam rekod 1:32.017s miliknya sendiri yang dilakukan pada 2019 menerusi catatan baharu 1:31.922s, namun ketika sesi kelayakan hampir berakhir, Vinales mencipta kejutan meraih catatan terpantas berkenaan.
Keputusan itu pasti memberi kelegaan kepada Vinales memandangkan pada GP Jerman di Litar Sachsenring minggu lepas, dia memulakan saingan di petak terakhir.
“Saya fikir kami sudah lakukan apa yang sepatutnya pada sesi kelayakan hari ini (semalam). Kami berjaya buktikan jentera sangat kompetitif dan pantas.
“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan catatan masa yang dilakukan. Saya rasa lega dan harap boleh menjejakkan kaki ke podium pada perlumbaan esok (hari ini),” kata Vinales sebaik tamat sesi kelayakan.
Mengiringi Vinales di barisan hadapan pada perlumbaan hari ini adalah Quartararo yang berada di petak kedua, diikuti pelumba Ducati, Francesco Bagnaia.
Sementara itu, pemenang GP Jerman, Marc Marquez yang menunggang jentera Repsol Honda akan memulakan perlumbaan di petak ke-20 selepas terjatuh pada sesi kelayakan pertama.
– AGENSI