fbpx

Nelayan tuntut penjelasan lanjut caruman Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Seramai 2,000 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok dan Pasir Puteh di sini menuntut penerangan lanjut berkaitan caruman dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bakal diterima mereka mulai Sabtu ini.

Pengerusi PNK Bachok, Saripudin Ishak berkata, cadangan baharu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semalam masih memerlukan penjelasan yang terperinci termasuk cara bayaran caruman.

Menurutnya, ia juga antara lain melibatkan aspek bayaran insurans tahunan yang dikenakan sebanyak RM157.70 yang perlu dilunaskan nelayan sama ada secara sekali gus ataupun ansuran.

“Sekiranya nelayan dikenakan bayaran tahunan secara sekali gus, ia amat membebankan nelayan kerana mereka tidak mampu berbuat demikian disebabkan faktor kemiskinan dan bekerja sendiri tanpa majikan.

“Nelayan pantai dan nelayan tradisional hanya kais pagi makan pagi sahaja dan bergantung sepenuhnya terhadap rezeki harian dan keadaan laut semasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini sebentar tadi.

Media tempatan semalam melaporkan, Ronald Kiandee berkata, lebih 42,000 nelayan di seluruh negara julung kalinya dibenar mencarum dalam Perkeso mengikut Akta Perkeso Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Katanya,caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bagi menggantikan caruman insurans nelayan kelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang akan dilaksanakan mulai Sabtu depan

Sehubungan dengan pengumuman itu, Saripudin turut mempersoalkan sama ada nelayan juga berhak mendapat skim perlindungan pencen hilang upaya dan kemudahan lain sebagaimana yang ditawarkan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Kiranya benar wujud insentif yang sama seperti ini, kami golongan nelayan amat berterima kasih kepada kerajaan. Setiap detik kami berdepan dengan risiko tinggi ketika mencari rezeki di laut,” katanya.

Sementara itu Pengerusi PNK Semerak, Zahari Samat berkata, tiada sebab pihaknya menolak jika skim itu dapat memberi insentif dan pembelaan kebajikan kepada nelayan.

Menurutnya, seramai 730 ahlinya yang terbabit dalam pelbagai sektor berasaskan perikanan seperti pengusaha kilang keropok selain menangkap ikan di pesisir pantai.

“Mereka juga sentiasa terdedah dengan kemalangan di tempat kerja.

“Bagaimanapun, kerajaan khususnya Perkeso perlu menjelaskan secara terperinci mengenai skim berkenaan yang boleh memberi kefahaman kepada nelayan yang terlibat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI