LONDON – Seorang lelaki mendakwa pernah melalui pengalaman mati hidup semula yang membawanya mengembara ke satu alam lain sebelum rohnya kembali memasuki jasadnya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Scott Drummond, 60, melalui pengalaman itu ketika dia berusia 28 tahun apabila dia diisytiharkan mati selama 20 minit ketika menjalani satu pembedahan.
Dia dibedah akibat satu kemalangan ski.
Menurut Drummond, ketika dia terbaring tidak sedarkan diri di atas katil pembedahan, secara tiba-tiba dia dapat melihat seorang jururawat berlari dari dewan bedah itu sambil menjerit, “Saya telah membunuhnya!”
“Pada waktu yang sama, saya seolah-olah sedang berdiri melihat jasad saya sendiri yang sedang terbaring di dalam dewan bedah itu serta dapat melihat setiap jahitan yang dikenakan ke atas ibu jari saya,” ujarnya.
Drummond berkata, dia kemudiannya berasa seperti dibawa ke sebuah padang dipenuhi dengan bunga-bunga yang cantik serta rumput yang tinggi sambil ditemani oleh satu lembaga tanpa wajah.
“Saya juga dapat melihat pokok-pokok yang aneh, besar dan tinggi selain pelbagai lagi jenis bunga liar yang amat cantik.
“Lembaga bersama saya tadi kemudiannya hilang dan saya ditinggalkan keseorangan di situ dengan perasaan yang mendamaikan,” ceritanya.
Tambahnya, dia seterusnya dapat melihat paparan ‘video’ yang memaparkan kehidupannya serta semua perbuatan baik dan jahat yang pernah dilakukannya sejak dari lahir hingga ke saat itu.
“Semua itu berlaku sehinggalah satu suara berkata bahawa masa saya belum tiba dan banyak lagi yang perlu saya lakukan,” katanya.
Ujar Drummond, dia kemudiannya masuk semula ke dalam badannya sebelum hidup semula selepas diisytiharkan mati selama 20 minit.
Sejak kejadian itu, dia mula menjalani kehidupannya dengan berbeza dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarganya. – AGENSI