AMPANG JAYA – Niat jahat seorang lelaki melarikan sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran Masjid Kampung Melayu Ampang, di sini kelmarin gagal apabila dia berjaya dihalang oleh pemilik kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.22 petang ketika pemilik kereta jenis Perodua Myvi iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun bersama abangnya keluar membeli barangan keperluan dapur.
“Pengadu dan abangnya meletakkan kereta di tepi jalan berhampiran masjid tersebut untuk pergi membeli barang namun tidak lama kemudian abang pengadu terlihat seorang lelaki lain berada di dalam kereta milik adiknya itu dan cuba memandu keluar dari tempat parkir.
“Kedua-dua mereka kemudiannya terus berlari ke arah kereta tersebut dan berjaya menahan suspek daripada melarikan diri sebelum menyerahkannya kepada pihak polis yang tiba tidak lama kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis telah menemui sebilah parang bersarung sepanjang kira-kira 40 sentimeter di dalam beg suspek berusia 40 tahun itu.
“Suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau namun ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 28 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri kenderaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dalam badan,” tegas beliau.- K! ONLINE