PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai bahagian perolehan di sebuah kementerian kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.
Menurut sumber, penahanan itu susulan siasatan yang dilakukan terhadap penolong setiausaha bahagian kementerian terbabit dan pemilik-pemilik serta pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lalu.
“Projek bernilai kira-kira RM2.6 juta ini melibatkan projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi penguat kuasa,” katanya.
Katanya, hasil siasatan berjaya membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai telah membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017 hingga kini termasuk projek berkaitan penahanan suspek.
“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” katanya.
Katanya lagi, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan SPRM. -K! ONLINE