PETALING JAYA – Individu yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diberi keutamaan sebagai petugas ibadah korban ketika sambutan Aidiladha depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, penetapan tersebut dilakukan bagi mengelakkan penularan Covid-19 dan harus dilaksanakan pihak terlibat di seluruh negara.
“Petugas yang dipilih juga perlu sihat, tidak bergejala dan bukan dalam kalangan penghidap penyakit kronik bagi mengelak berlaku isu penularan wabak Covid-19.
“Selain itu, aktiviti korban boleh dimulakan bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja dengan had kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas,” katanya pada sidang akhbar khas secara maya mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban bersempena perayaan Hari Raya Aidiladha semalam.
Pengumuman itu turut membolehkan umat Islam di negara ini melakukan persediaan lebih awal jika mahu melaksanakan ibadah sunat tersebut termasuk tempahan haiwan ternakan.
Terdahulu, pada Isnin lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut memberi jaminan jumlah bekalan ruminan adalah cukup untuk Hari Raya Aidiladha dijangka pada 20 Julai ini.
Selain itu, Zulkifli berkata, proses penyembelihan dilaksanakan di 27 buah rumah sembelihan JPV dan 35 premis swasta yang dilesenkan oleh pihak jabatan itu di negara ini.
Tambahnya, proses potongan kecil dan membungkus pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat yang lapang dan tidak menyebabkan berlaku kesesakan.
“Sembelihan korban selain daripada rumah sembelihan hendaklah dilaksanakan tidak melebihi lima ekor dalam sehari dengan bilangan petugas tidak melebihi 10 orang bagi setiap haiwan, serta mengambil kira keluasan kawasan bagi mengelakkan 3s (sesak, sempit dan sembang dekat),” katanya.
Zulkifli turut memaklumkan, terdapat dua kaedah yang dicadangkan untuk tujuan agihan daging korban iaitu penghantaran secara langsung kepada peserta dan kehadiran peserta menerima daging korban.
“Penghantaran secara langsung kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin berdasarkan senarai nama yang telah ditetapkan.
“Manakala jumlah kehadiran peserta pengambilan bahagian tidak boleh melebihi jumlah petugas dalam satu masa mengikut SOP yang ditetapkan dan elakkan 3s,” katanya
Segala saranan itu jelasnya, sejajar dengan SOP yang diwarta Majlis Keselamatan Negara dan atas nasihat semua mufti negeri melalui persidangan Jawatankuasa Muzakarah Khas yang dibuat baru-baru ini. – K! ONLINE