KUALA LUMPUR – Sebuah rumah teres dua tingkat musnah seratus peratus selepas dijilat api di Jalan Perak, Sri Petaling di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, (JBPM) Mohd. Hasbullah Naimi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi talian Mers 999 pada pukul 6.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Sebanyak lima buah jentera bersama 23 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling, Sungai Besi dan Jalan Hang Tuah telah dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan api.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal yang musnah seratus peratus akibat dijilat api dan kebakaran turut merebak ke bahagian bumbung rumah bersebelahan sebanyak lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hasbullah, kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran. – K! ONLINE