TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan akses percuma semua kandungan digital yang terdapat di dalam perpustakaan mayanya, UPSI Digital Repository (UDRep) kepada orang ramai.
Pemangku Ketua Pustakawan, Noriha Muhammad berkata, perkhidmatan perpustakaan digital berkenaan diberikan kepada bukan sahaja mahasiswa malah masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut beliau, kekangan pembelajaran dalam tempoh pandemik Covid-19 mendorong Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) UPSI menyediakan kemudahan perkhidmatan berkenaan.
“Semua pelajar universiti malah orang awam kini boleh mengakses secara percuma semua kandungan digital yang terdapat di dalam UDRep sepanjang tempoh PKP 3.0.
“Sehingga kini terdapat sebanyak 4,297 judul terdiri daripada tesis pelajar siswazah dan PhD, artikel jurnal, hasil penyelidikan pensyarah, seksyen buku, kertas persidangan, buku, laporan tahunan dan projek tahun akhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi. -K! ONLINE