fbpx

Panas baran perosak rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Harapkan pagar, pagar makan padi! Itu peribahasa tepat menggambarkan seorang suami yang sepatutnya menjaga dan me­nyayangi isteri, namun sanggup bertindak kasar ke atas teman hidup mereka sendiri.

Insan bergelar isteri itu sepatutnya dibelai dan ditatang bagaikan minyak yang penuh, namun diperlakukan dengan kejam hingga ada yang nyaris maut dan hampir lumpuh. Ia perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Bagaimanapun, trend suami memukul dan membelasah isteri semakin menjadi-jadi sejak ke­belakangan ini lebih-lebih lagi ketika negara melaksanakan Perin­tah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terbaharu, wanita hamil, Jahidah Nordin, 43, dilaporkan koma dan terpaksa bertarung nyawa selepas dipukul suaminya sendiri pada 4 Mei lalu.

Akibat kejadian itu, mangsa yang merupakan kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di negeri Johor parah pada bahagian kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang susulan pendarahan selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak.

Kejadian ini benar-benar mendatangkan kemarahan bukan sahaja kepada kaum wanita bahkan juga kaum bapa sendiri. Mengapa kejadian seperti ini berlaku?

Menurut pendakwah bebas yang juga peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, kejadian itu berpunca daripada hati yang jauh daripada Allah sehingga tergamak melakukan perkara-perkara di luar batasan manusia.

“Suami perlu ingat bahawa isteri bukan ‘punching bag’ dan tempat melepaskan kemarahan. Harus diingat bahawa marah itu datang daripada syaitan dan hawa nafsu.

“Dalam Islam, isteri adalah tanggungjawab seorang suami dan Islam juga mengajar kepada umatnya agar berlemah lembut dan bertimbang rasa di dalam segala hal, terutama hal-hal rumah tangga.

“Bagi mengelak rasa amarah, seorang muslim harus perba­nyakkan amalan beristighfar termasuk mengambil wuduk dan bersolat bagi meredakan kemarahan,” ujarnya.

Bagi Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, sikap panas baran mampu menjadi ‘bom jangka’ yang berpotensi menyebabkan individu berkenaan bertindak ganas.

“Individu yang mempunyai sikap panas baran keterlaluan dan cepat tertekan biasanya lebih gemar bertindak melulu menyelesaikan konflik.

“Individu yang ada masalah kesihatan mental ini tidak mempunyai kemahiran berkesan untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi mereka,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan maklum balas pesakitnya, peningkatan kos sara hidup, masalah keluarga iaitu hubungan interpersonal dan tekanan di tempat kerja dikatakan penyumbang kepada berlakunya tekanan pe­rasaan melampau hingga memaksa mereka bertindak agresif.

Secara konklusifnya, sikap panas baran hingga ke tahap memukul bukan penyelesaian terbaik, sebaliknya pegangan agama adalah tunjang penting dalam hidup berkeluarga.

Justeru itu, suami atau isteri yang mempunyai sebarang masalah sama ada kewangan atau hal kerja perlulah menerap­kan elemen positif dan tenang ketika berhadapan situasi yang rumit dan sukar.

Sikap positif ini sebenarnya mampu menjadi ‘penampan’ tatkala emosi terganggu yang akhir­nya membolehkan seseorang individu itu mampu menangani masalahnya dengan bijak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI