SEBERANG PERAI – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini kira-kira pukul 10 pagi hari ini berkaitan kes rasuah.
Difahamkan Ahli Parlimen Bagan itu akan berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan kes terowong dasar laut.
Pada Jumaat lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan daripada seorang pengarah syarikat berhubung Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan tersebut, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009.
Pihak polis membenarkan 10 petugas media memasuki ke kawasan mahkamah termasuklah empat wartawan dibenarkan masuk ke dalam kamar mahkamah. Manakala tidak kelihatan penyokong atau ahli DAP. – K! ONLINE