SEVILLE, Sepanyol – Pasukan ranking pertama dunia, Belgium bertekad mengecewakan hasrat penyerang prolifik Portugal, Cristiano Ronaldo untuk mencipta sejarah baharu muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa.
Bek tengah Belgium, Toby Alderweireld sudah bersedia untuk ‘mengunci’ pergerakan Ronaldo, 36, daripada menjaringkan gol menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020 di Estadio La Cartuja awal pagi Isnin ini.
Jika berjaya, ia bukan sahaja mampu menyingkirkan Portugal daripada kempen Euro 2020, sebaliknya turut membuatkan Ronaldo ‘berputih mata’ apabila kini berkongsi 109 gol antarabangsa bersama legenda Iran, Ali Daei.
“Kami sebenarnya sudah seronok kerana mungkin bertemu Hungary sebelum segala-galanya berubah. Suka atau tidak, kami sekarang akan bertemu salah satu pasukan hebat di Eropah (Portugal).
“Portugal sangat sukar untuk dikalahkan kerana mempunyai pemain berkualiti dan berpengalaman. Mereka juga ada Ronaldo yang boleh mencipta sesuatu dan memberi kemenangan kepada Portugal.
“Kami akan memberikan prestasi paling baik untuk menewaskan Portugal. Semua pemain tahu tugas masing-masing dan sekarang kami cuma menunggu hari perlawanan untuk membuktikan bahawa kami lebih baik berbanding Portugal,” kata Alderweireld.
Berdasarkan rekod pertemuan terdahulu, peluang Belgium dilihat sukar kerana masih belum pernah menewaskan Portugal dalam empat perlawanan antara mereka.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan Red Devils sekadar seri tanpa jaringan dalam satu aksi persahabatan antarabangsa sekitar tiga tahun lalu. – AGENSI