SEREMBAN – Dua lelaki yang dipercayai bertindak sebagai ‘penghantar kurier’ daun ketum menggunakan lori ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di susur keluar sekatan jalan raya (SJR) Seremban – Port Dickson di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohd. Said Ibrahim berkata, suspek pada mulanya cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mendakwa lori yang dibawa berisi muatan ikan sebaliknya pemeriksaan menemui daun ketum yang diisi dalam bekas polisterin.
“Suspek seorang pemandu lori berusia 36 tahun dan seorang lagi suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis pada pukul 3 pagi tadi.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis berjaya menemui sebanyak 23 kotak polisterin mengandungi 345 kilogram daun berwarna hijau disyaki daun ketum bernilai RM10,350,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Menurut Mohd. Said, siasatan awal mendapati suspek datang dari Merbok, Kedah dengan tujuan menjadi penghantar kurier daun ketum kepada seorang individu dipercayai berada di Port Dickson.
“Pihak polis masih menyiasat sama ada suspek telah biasa melakukan kerja tersebut atau baru pertama kali.
“Kita dapati pemandu lori tersebut mengambil upah menghantar daun ketum dan bayaran dikenakan masih dalam siasatan,” katanya. -K! ONLINE