KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) menyeru pelbagai pihak untuk menghulurkan bantuan kepada orang ramai terutamanya golongan B40 yang terjejas ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang sedang dijalankan ketika ini.
Pengerusinya, Yusuf Azmi berkata, telah terbukti ramai individu serta keluarga yang terkesan sepanjang tempoh perlaksanaan PKP dan sudah tiba masanya pihak yang ada kemampuan untuk terus membantu.
“Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun bantuan tersebut, dalam bentuk wang mahupun barangan. Program Semboyan ‘Kasih Infak Team Semboyan’ yang kami anjurkan ini membuktikan ramai rakyat yang terjejas.
“Kami juga tidak mempunyai bantuan yang banyak, ini sahaja yang kami mampu lakukan, saya harap ramai pihak yang boleh hulurkan bantuan bagi memudahkan pihak kami anjurkan program seperti ini,” jelasnya ketika hadir Program Semboyan ‘Kasih Infak Team Semboyan’ di ibu negara, hari ini.
Program Semboyan Kasih Infak Team Semboyan yang diadakan selama empat hari itu merupakan satu inisiatiaf yang dilakukan PPSM dengan memberi sumbangan barangan keperluan asas kepada kelompok asnaf dan B40 yang terkesan akibat PKP di sekitar ibu kota.
“Alhamdulillah, sumbangan barangan keperluan asas telahpun diagihkan kepada kelompok asnaf dan B40 yang terkesan hidup di sekitar ibu kota ini.
“InsyaAllah, kami juga akan gerakkan inisiatif ini ke beberapa tempat dan negeri lain atas dana sumbangan daripada orang ramai,” jelasnya.
Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Maybank Semboyan Kasih (562302620097) atau hubungi Biro Kebajikan Semboyan Kasih di talian http://www.wasap.my/60132308816SemboyanKasih. -K! ONLINE