KEMAMAN – Seramai 300 keluarga Orang Asli di seluruh Terengganu yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dibantu dengan pengagihan bakul makanan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Pengarah Yadim Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, pemberian bakul makanan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti Orang Asli terbabit.
“Saya difahamkan kebanyakan Orang Asli di negeri ini bekerja sendiri dan sudah pasti tiada mempunyai pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP penuh ini,” katanya selepas menyampaikan Misi Kemanusiaan Yadim-Yapeim di Kampung Sungai Pergam, dekat sini hari ini.
Nasrul Hadi berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM25,000 bagi kesemua bakul makanan berupa barangan keperluan berkenaan.
Beliau berkata, bantuan bakul makanan itu akan diagihkan kepada 156 keluarga di Kampung Sungai Pergam, Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu (133 keluarga) dan Kampung Sungai Sayap, Hulu Besut (11 keluarga).
“Kesemua bantuan bakul makanan tersebut dijangka akan diagihkan kepada penerima pada 1 Julai ini.
“Kita juga akan melakukan kerja-kerja sanitasi secara percuma di surau dan dewan yang terdapat di ketiga-tiga perkampungan Orang Asli berkenaan,” katanya. -K! ONLINE