TAPAH – Bukan sahaja bertugas menjaga perbatasan, kini Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq turut diberi tanggungjawab menggalakkan masyarakat Orang Asli agar mengambil vaksin sebagai langkah mewujudkan komuniti selamat daripada wabak Covid-19.
Tugas ini bagaimana pun tidak semudah dijangka kerana ramai dalam kalangan masyarakat pribumi tersebut masih ragu-ragu, bimbang selain percaya dengan cakap-cakap pihak lain untuk menolak vaksinasi.
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Senoi Praaq, Superintendan Azhar Hashim berkata, seluruh keanggotaan pasukan itu memainkan peranan mendekati masyarakat Orang Asli bagi memberi penerangan yang betul tentang kebaikan menerima suntikan vaksin.
Menurut beliau, ini termasuklah kepada komuniti asal masing-masing selain operasi turun padang ke perkampungan Orang Asli.
“Seramai 518 anggota batalion ini yang terdiri pelbagai kaum masyarakat Orang Asli telah pun selesai menerima dua dos vaksin Covid-19 dan setakat ini tiada kesan sampingan yang teruk.
“Tujuan galakkan vaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli ini adalah sebagai langkah-langkah untuk menghentikan sekiranya berlaku wabak Covid 19,” ujarnya ketika ditemui semalam.
Difahamkan, mengikut data daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri Perak, kira-kira 30,000 penduduk Orang Asli menolak pemberian vaksin dan usaha-usaha dijalankan bagi memujuk mereka.
Tegas Azhar lagi, sebagai pasukan polis yang dianggotai masyarakat Orang Asli, adalah tanggungjawab batalion tersebut untuk memberi gambaran yang betul selain keyakinan kepada warga pribumi ini. -K! ONLINE