PETALING JAYA – Penceramah bebas yang kini bergelar pelakon, PU Azman tidak melihat penglibatannya dalam dunia hiburan, khususnya sebagai suatu kesalahan sehingga dikecam dan dikritik banyak pihak.
Azman atau kini mesra disapa Cik Man bependapat, penglibatannya sebagai pelakon tidak seharusnya dijadikan isu besar.
“Orang yang membenci kita ada di mana-mana sahaja. Saya pekakkan telinga sahaja, tetapi itu tidak bermaksud saya tidak menerima kritikan. Ada yang kata industri lakonan (hiburan) itu hitam.
“Bagi saya, kita sendiri yang kena tahu nilai yang hendak dibawa sebab dakwah itu boleh dibuat di mana-mana sahaja,” katanya.
Bercakap kepada Kosmo Online!, Cik Man bertegas, dia menceburi dan terlibat dalam bidang lakonan kerana itu minat yang menjadi keinginannya sejak dahulu lagi.
“Boleh sahaja bawa nilai murni. Semuanya bergantung pada penerimaan pemain-pemain industri. Sambil berlakon, dalam masa sama saya juga boleh berdakwah.
“Sebagai contoh, jika berada di set penggambaran, ada sahaja artis yang bertanyakan kepada saya hal-hal berkaitan agama. Di situ saya boleh mengambil peluang untuk berdakwah dan jelaskan persoalan mereka.
“Secara halus kitab oleh membina hubungan yang baik dengan pemain industri dan pecahkan tembok rasa malu tentang pandangan orang berkaitan dakwah sebelum ini,” jelasnya.
Selepas menceburi bidang lakonan, Cik Man mengakui dia berasa gembira dan selesa untuk mencari rezeki dengan kerjaya sebagai pelakon.
“Ramai pengarah dan penerbit memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk menggalas sesuatu watak.
“Bahkan, watak yang diberikan juga lebih luas dan terbuka selain tidak tertumpu pada watak ‘ustaz’ semata-mata,” katanya semasa ditemui dalam sidang media secara virtual bagi mempromosikan sitkom Bujang Tampan Selamba.
Sewaktu ditanya tentang persoalan yang ditimbulkan mengenai keberkatan hasil berlakon atau apa sahaja yang melibatkan dunia hiburan, Cik Man berkata perkara tersebut perlu dilihat daripada pelbagai aspek.
Ujarnya, persoalan tentang keberkatan bersifat subjektif untuk dikupas, namun dia tidak menolak bahawa perkara tersebut harus dilihat seseorang pelakon itu dibayar berdasarkan apa.
“Soal keberkatan dalam mencari rezeki melalui dunia hiburan itu adalah urusan Allah SWT. Kalau kata seseorang pelakon itu dibayar untuk melakukan sesuatu yang haram, contohnya sebelum ini pelakon tersebut bertudung, tetapi dia membuka tudungnya untuk memenuhi watak yang diminta. Itu yang bermasalah.
“Berlakon jangan sampai melakukan apa yang dilarang dalam agama. Tetapi saya percaya banyak aspek yang harus dilihat jika mahu berbicara soal ini (keberkatan),” katanya.
Sepanjang terlibat dalam dunia lakonan, sudah puluhan drama dijayakan Cik Man, antaranya, Sweet Dreams, Bila Syaitan Berbisik, Lelaki Kiriman Tuhan dan Petaka (filem) – K! ONLINE