fbpx

Jumlah pelaburan Ekuinas RM4.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jumlah pelaburan kumulatif Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) merekodkan sebanyak RM4.4 bilion daripada pelaburannya dalam 42 syarikat dan seterusnya telah menjana jumlah kemasukan modal bersama rakan sektor swasta sebanyak RM5 bilion.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, di sebalik latar belakang pandemik global dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, syarikat tetap aktif dalam akti­viti pelaburannya dengan memperuntukkan komitmen sebanyak RM250.2 juta bagi memperku­kuhkan syarikat di bawah portfolionya.

Pada tahun 2020, Ekuinas memperoleh kepentingan majo­riti dalam Medispec (M) Sdn. Bhd., pengedar terkemuka dan pemasar produk farmaseutikal serta makanan tambahan tempatan.

Ini menandakan kemasukan syarikat ke dalam industri penjagaan kesihatan dan farmasi.

Di samping itu, Ekuinas juga komited untuk menyokong syarikat portfolio sedia adanya melalui pelaburan susulan dalam Icon Offshore Bhd. dan Flexi Versa Group.

“Walaupun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, Ekuinas masih berjaya menyem­purnakan penjualan syarikat pencuci mulut dan minuman tempatan, Coolblog Apps Sdn. Bhd. (Coolblog).

“Pelupusan ini membawa jumlah hasil realisasi syarikat termasuk pendapatan daripada di­viden dan faedah, kepada RM3.2 bilion, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Raja Arshad menerangkan, dalam tempoh yang sama, menerusi dana langsung dan dana penyumberan luarnya, Ekuinas secara positif, telah meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera kepada RM5.6 bilion, bersamaan 1.4 kali ganda modal dilaburkan.

Usahanya juga telah me­ningkatkan jumlah pengurus dan kakitangan bumiputera dalam syarikat portfolio masing-masing sebanyak 13.3 peratus dan 10.5 peratus.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir menerangkan, syarikat melalui usaha tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) melalui ILTIZAM, telah menyalurkan sebanyak RM9.8 juta kepada ketiga-tiga teras di bawahnya iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti.

Dana tersebut telah memberi manfaat kepada hampir 6,600 penerima bantuan.

Syed Yasir Arafat menerangkan, syarikat juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta yang dikenali sebagai Dana Ihsan Co­vid-19 bagi menyokong negara dalam memerangi pandemik.

Tambah beliau, melalui dana tersebut, ia telah berjaya menghulurkan bantuan kepada rakyat dan perniagaan.

“Tahun 2020 bermula dengan perlahan tetapi secara keseluruhan, kegiatan ekuiti persendirian (PE) pada suku pertama menjunam kerana kegiatan atau keputusan ditangguhkan akibat kawalan pergerakan serta kekurangan sentimen dengan keyakinan yang menurun dengan mendadak.

“Namun, kekangan yang di­timbulkan oleh pandemik ini tidak kekal lama dan industri PE menyaksikan pemulihan pesat, se­perti yang dapat dilihat pada data suku ketiga tahun 2020,” jelasnya.

Mengulas mengenai hala tuju syarikat, Syed Yasir Arafat berkata, pihaknya akan menggiatkan usaha mencari pe­luang urus niaga dan pengurusan portfolio, sambil mengekalkan arah strategi korporat secara keseluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI