PENYANYI remaja berusia 19 tahun ini pernah muncul dengan dua single berjudul Sinar dan Sudahlah.
Malah, kerjasama dengan rapper dan komposer muda, Chubb-E tahun lalu sedikit sebanyak memperkenalkan lagi nama Megat Rahim dalam industri muzik tempatan.
Biarpun kehadirannya masih belum disedari ramai, tetapi Megat Rahim atau nama sebenarnya Megat Abdul Rahim Abdul Razak sudah berjaya mengumpul peminat tersendiri.
Berbekalkan pakej lengkap sebagai penyanyi, genre muzik yang diketengahkan Megat Rahim juga menarik perhatian pencinta muzik tanah air.
Kuasa Dua
Terbaharu, Megat Rahim melancarkan single ketiga, Kuasa Dua hasil ciptaan sepenuhnya oleh Shazee Ishak serentak di semua platform digital sejak 4 Jun lalu.
“Lagu kali ini bergenre R&B dan pop. Kenapa genre ini, sebab sebelum ini saya ada keluarkan lagu bergenre jazz. Jadi, untuk single terbaharu ini saya nak mencuba untuk lagu yang bergenre ‘up beat’ sikit.
“Lagu ini dirakam pada Februari lalu dan tidak ambil masa lama sebab saya sudah buat latihan sebelumnya. Sebelum masuk studio, saya sudah ada persediaan dan segalanya berjalan lancar,” katanya.
Kasmaran
Mengenai Kuasa Dua, lagu tersebut bercerita tentang kasmaran, perasaan cinta dan kasih sayang luar biasa ditunjukkan seseorang kepada pasangan.
“Lagu ini mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang mencintai seorang wanita dengan kuasa dua yang dizahirkan secara luar biasa.
“Itu sebab saya pilih tajuk ini. Tambah lagi, cinta yang ditunjukkan itu sangat luar biasa.
“Saya yakin lagu ini mampu memberikan semangat kepada sesiapa saja untuk mencintai dan menyayangi seseorang itu dengan sepenuh hati.
“Dalam masa sama nak mendidik mereka bahawa cinta dan kasih sayang itu tidak boleh dipermainkan,” katanya.
Menyentuh soal populariti yang dilihat masih jauh jika dibandingkan dengan beberapa penyanyi remaja lain, Megat lebih memilih soal kualiti dan bakat.
“Saya percaya populariti seseorang penyanyi boleh menjadikan lagu nyanyiannya diterima. Apabila sudah popular, kita menjadi milik khalayak.
“Dari situ semua penyokong akan suka dengan apa saja kita buat.
“Sejujurnya, saya lebih memilih bakat daripada populariti. Dalam perkara ini mungkin orang lain berpendapat sebaliknya. Cuma, secara peribadi saya berpendapat dan melihat soal bakat perlu diketengahkan kerana aspek tersebut akan mengekalkan kita dalam bidang diceburi.
“Populariti akan datang dengan sendiri, malah boleh hilang sekelip mata. Apa pun, semua ini adalah rezeki Allah SWT. Saya percaya itu,” katanya.
Kurang sambutan
Ditanya tentang sambutan dua single sebelum ini yang kurang sambutan, Megat mengakui kecewa, namun dia tetap berusaha memperbaiki diri dan enggan berputus asa.
“Sejujurnya, saya agak kecewa kalau orang tak boleh terima lagu yang sudah kita bikin sehabis baik. Sebab proses rakaman bukan mudah. Kena duduk dan ambil masa lama dalam studio dan nak menghayati lagi lagu berkenaan.
“Tetapi, saya sentiasa berfikiran positif. Saya percaya dan yakin masa saya akan tiba juga. Dalam erti kata lain, jangan cepat mengalah dan putus asa. Kena sentiasa positif dalam apa jua perkara. Selain itu, kita kena sentiasa mencuba sesuatu yang baharu untuk menonjolkan lagi bakat yang ada,” katanya.
Menurut Megat, apa yang penting ketika ini adalah strategi dan secara bagaimana dia perlu lakukan untuk memperkenalkan lagu Kuasa Dua itu.
“Sebagai perancangan, saya akan terus promosikan dalam media sosial dan kena promo sedaya upaya apatah lagi dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan banyak aktiviti.
“Saya percaya, kuasa media sosial hari ini sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya yang memasang impian untuk berduet dengan Hael Husaini.