MASIH menebalkah ingatan khalayak terhadap Khuzairi dalam drama 7 Hari Mencintaiku atau bayangan tersebut sudah ditenggelami Nazril Nazim, hero Rindu Awak Separuh Nyawa (RASN)?
Dua watak berhantu tersebut boleh dikatakan antara lakonan Shukri Yahaya yang berjaya meninggalkan memori manis terhadap penonton.
Tidak kiralah watak air mata mahupun suami egois, pasti karakter yang diterjemahkan pelakon berusia 34 tahun itu nampak sempurna sehingga digelar hero drama fenomena masa kini.
Bergandingan bersama Uqasha Senrose dan Marsha Milan, pesona Shukri kini memukau ramai menerusi RASN.
Biarpun dihujani pujian, watak suami egois dan terlalu ‘jiwang’ dengan cinta menyebab Shukri berdepan kritikan apabila gelaran ‘hero lembik’.
Gilap karakter
“Hero lembik? (ketawa). Banyak juga saya dapat gelaran begitu daripada penonton tetapi semua itu hanya watak yang dimainkan sahaja.
“Walaupun digelar begitu, tetapi itulah karakter yang penonton suka dan dinanti-nanti ramai iaitu hero lembik dalam drama ‘cintan-cintun’ hari ini,” tutur pemilik nama penuh Mohd. Shukri Yahaya kepada HibGlam baru-baru ini.
Jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu, lambakan watak hero sebegitu dalam drama-drama berlaku disebabkan permintaan dan sambutan yang tinggi daripada para penonton.
“Sesuatu produk tidak akan terhasil jika tiada kehendak. Makanya, banyaklah drama cinta dengan hero dan heroin air mata yang dikeluarkan. Realitinya rating sangat tinggi,” tuturnya.
Bercerita mengenai setiap watak dan karakter yang dipersembahkan, pelakon berusia 33 tahun itu hanya melunaskan tanggungjawab berdasarkan skrip dan jalan cerita yang ditugaskan kepadanya.
Kongsinya, setiap karakter yang diberikan akan digilapnya sehabis baik sehingga dia sendiri berpuas hati dengan hasilnya.
“Jika ada yang memuji, saya berterima kasih dan bersyukur. Jujurnya saya tidaklah hebat mana, tetapi saya beri 100 peratus jiwa apabila berlakon.
“Setiap kali saya mendapat watak, saya akan ‘cantikkannya’ sebelum dizahirkan di hadapan kamera. Saya juga bukan jenis memilih watak, tidak kisah karakter apa pun, saya akan lakukannya sehabis baik.
“Itulah kerja seorang pelakon iaitu menghidupkan apa sahaja watak diberi walaupun hanya sampingan,” kongsinya.
Jangan perlekeh karya orang
Terpanggil untuk memberi komen mengenai isu seorang pengarah didakwa memperlekeh drama RASN, suami kepada Siti Nurfatihah Adnan atau Tya Adnan itu berpendapat penggiat industri seni sepatutnya saling menyokong bukan hanya mengkritik atau menghentam karya orang lain.
“Saya ada dengar tentang isu terdapat pihak memandang rendah drama ini yang katanya ‘acik-acik bawang punya cerita’.
“Sebagai pelakon RASN, saya sendiri ni pun rasa macam terkejut dan terkilan.
“Bagi saya, setiap orang ada cita rasa masing-masing dan tidak boleh rasa diri sentiasa hebat.
“Walaupun RASN dikritik, alhamdulillah juga sebab ‘mak cik bawang’ berjaya jadikan drama ini fenomena (ketawa),” luahnya.
Nasihat Shukri, setiap penggiat seni sepatutnya menzahirkan sokongan antara satu sama lain, bukannya mengeluarkan sebarang kenyataan yang memalukan pihak tertentu.
“Sepatutnya kita semua bersaing secara sihat dan jadikan karya orang lain sebagai pembakar semangat untuk hasilkan lebih banyak drama atau filem yang berkualiti.
“Bagi saya, saling kutuk-mengutuk hasil kerja orang tidak sepatutnya berlaku dalam industri. Pusing-pusing kita akan jumpa orang yang sama juga,” katanya yang pernah memenangi trofi Pelakon Watak Antagonis Popular Anugerah Berita Popular pada 2019.
Sembang kawan-kawan
Selain lakonan, hubungan persahabatannya dengan pelakon Sharnaaz antara yang turut menjadi tumpuan ramai kini.
Hampir setiap minggu ada sahaja sedutan daripada video siaran langsung (live) antara dia dan Sharnaaz Ahmad tular dalam media sosial.
Bercerita tentang hubungan baiknya dengan aktor filem Jebat itu, Shukri melahirkan rasa pelik mengapa perbualan santai mereka kerap mendapat perhatian ramai.
“Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai tiada benda nak buat di rumah, jadi kami buatlah panggilan video untuk menghilangkan kebosanan.
“Tak sangka pula video-video live kami ada yang rakam dan viralkan sedutan pendek dalam media sosial sebelum menjadi sensasi,” jelasnya.
Ditanya tentang corak perbualannya bersama bekas suami Noor Nabila itu kuat menyindir, Shukri menganggap perkara tersebut hanyalah borak kosong.
“Mana ada perli-perli orang (ketawa). Kami sembang macam jumpa kawan-kawan di kedai kopi, seperti orang lain yang berborak isu viral dan semasa.
“Mungkin kerana kami artis, jadi apa yang kami gurau dan bualkan dikatakan sensitif serta memerli pihak lain. Sebenarnya tiada apa pun, gurau kasar antara kawan-kawan sahaja.
“Saya harap apa yang kami bualkan tidak dijadikan isu besar, apatah lagi kami tak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak. Semua itu sekadar borak-borak kosong sahaja,” ujarnya menutup perbualan.