KULIM – Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita selepas menyerbu sebuah premis perniagaan yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sebuah rumah kedai di Taman Pelangi di sini hari ini.
Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam serbuan tersebut, lima lelaki didapati sedang leka bermain judi daun terup di satu meja khas di tingkat atas rumah kedai berkenaan.
Katanya, tiga lagi individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki disyaki tonto dan seorang wanita dipercayai juruwang di situ.
“Kegiatan judi di premis ala mini kasino itu mengunakan cip pelbagai nilai sebagai pertaruhan,” ujarnya.
Menurut Sazalee, pihaknya merampas sebuah meja khas yang digunakan untuk kegiatan judi itu serta cip bernilai RM1, RM5 dan RM25 dengan nilai keseluruhan RM800. – K! ONLINE