GOIANIA – Peru mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya mengikat Ecuador 2-2 pada aksi Copa America 2021 biarpun terlebih dahulu ketinggalan dengan dua gol pada aksi pagi semalam.
Penyerang mereka, Gianluca Lapadula menjadi inspirasi kebangkitan tersebut sekali gus menyaksikan Peru masih berpeluang untuk mara ke pusingan suku akhir dengan mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan.
Ecuador merupakan salah satu daripada dua pasukan yang masih belum memenangi trofi Copa America sepanjang penganjuran kejohanan itu sehingga kini tetapi mereka berjaya memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila mendahului dengan dua gol sebelum babak pertama berakhir.
Tanpa kehadiran penyerang sensasi, Enner Valencia yang digantung, Ecuador membuka tirai jaringan melalui pemain pertahanan Peru, Renato Tapia yang tertampan bola hantaran lintang Pervis Estupinan ke gawang pasukannya sendiri.
Ecuador kemudiannya berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi Ayrton Preciado yang menolak masuk bola hasil sepakan percuma Damian Diaz yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Peru, Pedro Gallase.
Babak kedua menyaksikan Peru kembali menyusun strategi dan empat minit selepas ia bermula, Lapadula merapatkan kedudukan menerusi gol pertama biarpun mereka juga kehilangan khidmat seorang lagi penyerang utama, Paolo Guerrero.
Lima minit selepas gol pertama tersebut, Lapadula menjadi watak penting memulakan gerakan dengan hantaran kepada kepada pemain sayap, Sergio Pena yang kemudiannya melakukan umpanan yang berjaya disudahkan oleh Andre Carrillo untuk gol penyamaan.
Aksi kedua-dua pasukan terus menjadi sengit sehingga wisel penamat dan masing-masing berjaya mendapatkan beberapa peluang terbaik untuk mencari gol kemenangan tetapi sentuhan penyudah yang agak mengecewakan dan kekentalan benteng pertahanan menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri itu.
Brazil yang meraih sembilan mata sudah berjaya menempatkan diri ke pusingan suku akhir tetapi empat lagi pasukan di dalam kumpulan ini masih berpeluang untuk bersaing memburu tempat ke pusingan berikutnya pada aksi terakhir pagi Isnin ini. – AGENSI