KUANTAN – Padah menunggang motosikal secara berbahaya, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan dan dikompaun selepas menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuantan, di sini, hari ini.
Sebelum itu suspek yang juga pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di bandar ini dikesan menunggang motosikal sambil membuat aksi berdiri serta mengangkat tayar hadapan (wheelie) di Jalan Bukit Setongkol, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis yang melakukan Ops Samseng Jalanan di lokasi terbabit.
“Bagaimanapun suspek tampil menyerah diri pada pukul 10.30 pagi dan anggota telah membuat pengecaman seterusnya menahan suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek turut dikompaun RM1,500 di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) 1988 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 70 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan yang bermula pukul 5 petang hingga 11 malam semalam.
Katanya, sebanyak empat buah motosikal disita kerana kesalahan mengubah suai ekzos dan struktur kenderaan. – K! ONLINE