PUTRAJAYA – Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bersetuju untuk mengesyorkan supaya semua program latihan kepakaran perubatan yang ditawarkan dalam negara oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) perlu berdaftar bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan melalui proses akreditasi.
Ia termasuk program berstatus kerjasama atau berkembar bersama badan penganugerah sijil antarabangsa.
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat MPM bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Kesihatan dan KPT pada 15 Jun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kelayakan luar negara yang diiktiraf MPM dikenali sebagai ‘Parallel Pathways’ di bawah kelolaan pihak KKM, mesyuarat bersetuju proses akreditasi MQA adalah tidak perlu.
“Ia bukan program latihan yang ditawarkan oleh PPT dalam negara dan KKM hanya menyediakan kemudahan bagi calon-calon dalam persediaan menduduki peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE