JAKARTA, INDONESIA – Gara-gara cemburu, seorang wanita berstatus isteri tua kepada seorang lelaki bertindak menghantar sebuah jentolak untuk merobohkan rumah madunya baru-baru ini.
Menurut sebuah laman berita, kejadian di Desa Mangga Dua, Kabupaten Serdang Bedagai di Sumatera Utara itu menyusul selepas isteri tua tidak berpuas hati suaminya dikatakan membelikan rumah baharu untuk isteri muda.
Rakaman video kejadian tersebut dimuat naik seorang individu dikenali sebagai Sugi Sergai di laman perkongsian video YouTube pada Isnin lalu sebelum tular di laman sosial.
“Isteri tua telah menghantar sebuah jentolak untuk meratakan rumah isteri muda.
“Dia (isteri tua) marah dan cemburu selepas mengetahui suaminya membelikan rumah baharu untuk madunya,” ujar Sugi.
Dalam perkongsian video berdurasi 8 minit 47 saat itu, sebuah jentolak dilihat merobohkan bumbung dan dinding rumah si isteri muda sehingga rata.
Suasana di tempat kejadian juga riuh dengan suara penduduk kampung memanggil nama si steri muda yang didakwa sedang hamil tiga bulan. Bagaimanapun, penduduk setempat mendakwa bahawa mereka tidak begitu mengenali wanita tersebut.
Netizen memberikan pelbagai reaksi dengan sebilangan menyokong dan sebahagian lagi membantah tindakan isteri tua tersebut.
“Hancurkan saja rumah pencuri suami orang sehingga rata,” ujar seorang pengguna laman sosial.
Namun, netizen lain mengecam tindakan isteri tua dan mahu kejadian tersebut dilaporkan kepada polis. – AGENSI