PUTRAJAYA – Kontraktor G1 dan G2 yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibenarkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan bagi projek-projek berskala kecil di bawah PBT dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 21 Jun lalu.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan berkata, kontraktor-kontraktor berkenaan tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Sebaliknya surat kebenaran beroperasi akan dikeluarkan oleh PBT bagi mempercepatkan proses kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan oleh PBT adalah tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan peraturan-peraturan PBT bagi mengekang penularan wabak Covid-19. -K! ONLINE