PUTRAJAYA – Pelaburan Syarikat Risen Energy Co. Ltd iaitu sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan solar module selama 15 tahun mulai tahun ini hingga 2035 dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarikat itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti atau institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk pengambilan pelajar untuk latihan industri.
“Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat secara maya bersama Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy, Xie Jian hari ini.
Mesyuarat itu turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.
Berpangkalan di Republik Rakyat China, syarikat itu melalui Risen Solar Technology Sdn. Bhd. telah diluluskan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan solar cells dan solar modules di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM42.2 bilion.
Perdana Menteri berkata, pelaburan syarikat Risen Energy itu merupakan satu kejayaan besar buat negara sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.
Beliau berkata, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi itu tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara. -K! ONLINE