fbpx

Edar rokok seludup guna lori sejuk beku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal Abidin menunjukkan sebahagian kotak rokok seludup pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Utara di Kepala Batas hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok seludup selepas menyerbu dua buah gudang di Tasek Gelugor di sini semalam yang membabitkan rampasan bernilai kira-kira RM14 juta.

Dalam Ops Kontraban kira-kira pukul 6 pagi itu, seramai lima individu berusia 36 hingga 63 tahun ditahan.

Sebahagian daripada mereka dipercayai sedang memunggah kotak-kotak rokok berkenaan ke dalam beberapa buah lori semasa serbuan oleh Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dijalankan.

Antaranya termasuklah sebuah lori barang makanan sejuk beku yang kononnya membawa barangan perkhidmatan perlu iaitu peruncitan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya merampas hampir 18.5 juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai kira-kira RM13.9 juta.

“Kelima-lima mereka yang ditahan dipercayai pekerja dalam kegiatan itu, manakala dalang sindiket masih dikesan.

“Pada operasi itu, empat buah lori yang berisi kotak-kotak rokok, dua buah kereta dan wang tunai RM2,200 yang keseluruhannya bernilai RM14.2 juta turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas hari ini.

Zainal Abidin berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI