SHAH ALAM – Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ratusan ikan yang ditemui mati Sungai Damansara, dekat sini.
IWK dalam kenyataan di laman Twitter memaklumkan, siasatan itu dilakukan pasukan dari Pejabat Operasi di Shah Alam dengan menganalisa sampel efluen daripada beberapa asetnya di sepanjang sungai berkenaan.
“Hasil siasatan menunjukkan kesemua efluen daripada loji rawatan kumbahan IWK menepati parameter ditetapkan. Bagaimanapun, pemantauan rapi sedang diteruskan,” ciapnya di laman tersebut.
Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! mendapati kerja-kerja pembersihan telah dilakukan oleh kontraktor dilantik bagi mengeluarkan bangkai ikan yang terapung di sepanjang sungai berkenaan. – K! ONLINE