RAUT wajahnya begitu tenang dan lembut. Bagaimanapun di sebalik ketenangan yang terpapar itu, fikirannya tidak henti-henti memikirkan perihal pelajar-pelajar di sekolah.
Dikenali atas keprihatinannya terhadap masalah dihadapi pelajar, pemilik nama Asmahani Abu Samah ini sememangnya disenangi dalam kalangan pelajar dan teman sejawat.
Jiwa besarnya itu menyebabkan dia dicalonkan oleh salah seorang pelajarnya, Nur Husna Afifah Hisham sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021.
Merupakan salah seorang daripada 4,000 guru yang tercalon, Asmahani kemudian disaring sekali lagi dan terpilih antara 100 orang guru terbaik sebelum dipilih untuk memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021 bersama 25 orang guru lain.
Penganugerahan yang diberikan kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang itu dibuat atas keprihatinan beliau dalam menyelami masalah anak didiknya.
Menurut wanita berusia 34 tahun ini, pengalaman membesar dalam keadaan serba kekurangan membuatkan dia sentiasa memotivasikan dirinya untuk membantu pelajarnya yang kurang bernasib baik.
“Saya membayangkan keperluan mereka seperti diri sendiri. Jadi, apa yang mereka lalui dan rasai sedikit sebanyak akan tercalar di hati ini kerana pengalaman membesar dalam keadaan serba kekurangan di masa lalu memberi pengajaran berguna dalam hidup.
“Sebenarnya di sekolah, saya banyak bergurau dengan pelajar. Ketika waktu rehat, saya akan ke kantin untuk melihat apa yang mereka makan dan duduk semeja berborak dengan mereka tentang pelbagai topik selain akademik.
“Daripada situ, saya dapat mengetahui masalah yang dihadapi mereka dan beranggapan mereka seperti anak-anak saya. Jika bukan saya yang membantu mereka, siapa lagi,” katanya memulakan bicara.
Menurut Asmahani yang merupakan guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi itu lagi, tidak semua pelajar yang didekati mahu meluahkan masalah atau perasaan mereka.
Begitupun sebagai guru, dia selalu memerhatikan gerak geri dan tingkah laku anak didiknya.
“Saya pernah melihat seorang pelajar menangis kelaparan dan apabila disoal selidik, beliau adalah anak yatim piatu, tiada wang dibawa ke sekolah jika adik atau abangnya tidak ke laut.
“Saya khuatir mereka tidak dapat memberikan fokus apabila belajar dalam keadaan lapar. Saya mengambil peluang ke rumahnya dan mendapati kediamannya sangat usang,” katanya.
Menganggap pelajar-pelajar seperti anak dan ahli keluarganya sendiri, wanita ini tidak penat menghulurkan bantuan apabila diperlukan.
Bukan sahaja dari segi kewangan terhadap pelajar-pelajar kurang berkemampuan, beliau juga mengambil serius hal-hal melibatkan mereka yang bermasalah.
Menjadikan subjek yang diajar sebagai kelebihan dan platform untuk mengubah diri, pelajar-pelajar ini akan dibawa untuk menyertai pertandingan pembinaan prototaip supaya ruang dan masa mereka terisi.
Menurut Asmahani lagi, sifat mengasihi dan meraikan anak yatim itu diwarisi melalui ibunya yang berhadapan kesukaran hidup dalam membesarkannya dengan cekal dan tabah.
Sifat ibunya yang tidak akan berputus asa memberi inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang wirawati kepada anak-anak didik selari dengan moto hidupnya, ‘from zero to hero’.
Kesibukannya yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik buat pelajar menyebabkan dia sering berada di bengkel sehingga lewat petang bagi mencipta projek kreatif untuk dipertandingkan.
Begitupun, ketika dirinya begitu sibuk membina projek untuk dipertandingkan, beliau menerima berita mengejutkan selepas disahkan mengidap penyakit slip disc beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun kerana mahu membantu dan memberi sokongan, Asmahani tetap meneruskan projek tersebut.
Walaupun tidak sempat untuk menghantar projek untuk dipertandingkan dek kekangan masa.
Menyedari kesedihan pelajarnya dalam hal ini, dia tetap menitipkan kata-kata semangat supaya mereka merangkul kejayaan dalam bidang lain pada masa akan datang.